Istilah ICT | PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
» ARTIKEL » Istilah ICT

Istilah ICT

Istilah ICT (Sumber daripada SosCili.my, Astro Awani dan DBP).

 

Perkataan photobomb dikatakan telah wujud sejak 1970 dan penggunaannya mula tersebar luas bila zaman digital muncul pada awal tahun 2000. Ditambah pula dengan penggunaan Facebook, Instagram dan Twitter yang menjadi tempat orang berkongsi gambar. Akhirnya, muncul juga perkataan ni secara online melalui ‘kamus’ slang Internet iaitu Urban Dictionary pada tahun 2008.

Pihak DBP telah menterjemahkan perkataan Photobomb kepada Tunafoto. Ramai yang terkejut kenapa perkataan tuna digunakan sebab orang ramai hanya tahu tuna ni ikan. Tapi, tak semudah itu. Bila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, tuna ni ada beberapa maksud macam kat bawah ni.

  1. Sejenis ikan laut daripada famili Scombridae yang badannya agak bulat panjang dan muncungnya lancip. Biasanya isinya ditinkan sebagai bahan makanan
  2. Luka, cacat, rosak (Slang)
  3. Tidak mempunyai (Bahasa Sanskrit)

Jika istilah Inggeris diterjemahkan kepada bahasa Melayu macam ni, ia dipanggil sebagai proses pinjam terjemah dengan terjemahan langsung.

“Istilah ‘tunafoto’ dicipta dengan menggunakan proses terjemahan langsung iaitu daripada “photobomb’.  “Tuna” ialah imbuhan pinjaman daripada bahasa Sanskrit yang bermaksud  tiada, cacat atau tidak sempurna.”- Fariza Nurbaya.

“Tunafoto ialah istilah yang merujuk kepada keadaan gambar foto yang terganggu, rosak atau tidak sempurna disebabkan oleh sesuatu perkara yang tidak dijangka semasa foto itu diambil.”- Fariza Nurbaya.

Teknik yang sama juga digunakan untuk perkataan butang tekan yang diterjemah secara langsung dari push button. Menurut Fariza, perkataan pengkomputeran awan juga diterjemah secara langsung dari cloud computing.

Swafoto Maut menggantikan killfie ada imbuhan Sanskrit di dalamnya

Kalau tadi PROSES PINJAM TERJEMAH dengan terjemahan langsung, kali ni guna teknik PROSES PINJAM TERJEMAH dengan menggabungkan dua kata umum. Kalau nak faham lagi, kita kayuh perlahan-lahan. Kita pun tahu sebelum ni perkataan Selfie dah pun diterjemah kepada Swafoto. Pentingnya diterjemah perkataan Selfie ni sebab dah banyak sangat digunakan hingga diumumkan sebagai Word Of The Year 2013. Macam mana boleh jadi Swafoto?

eknik yang digunakan untuk bentuk swafoto ni dipanggil mencipta kata baharu yang tidak pernah ada dalam bahasa Melayu bagi mendukung konsep baharu.

“Proses ini digunakan untuk membentuk istilah swafoto (selfie). Swa ialah imbuhan pinjaman daripada bahasa Sanskrit yang bermaksud sendiri.”- Fariza Nurbaya.

Sebenarnya, ada je contoh lain macam swalayan yang bermaksud layan diri dan swadaya yang maksudnya usaha sendiri. Lepas je perkataan Selfie dah diterjemah, sekarang ni muncul pulak perkataan killfie. Secara mudahnya gabungan perkataan kill+selfie. Maksud killfie ni adalah ambil gambar foto sendiri dengan menggunakan smartphone atau kamera di tempat berbahaya yang boleh mendatangkan kematian. Jadinya, killfie diterjemahkan menjadi swafoto maut dengan teknik…

“Istilah ‘swafoto maut’ dibentuk dengan menggunakan proses menggabungkan dua kata umum bagi menggantikan istilah killfie yang membawa maksud aktiviti swafoto hingga membawa kecederaan atau kematian”- Fariza Nurbaya.

 

Penggabungan dua perkataan tak boleh buat sesuka hati, sebab tu muncul istilah Tera Air

Kalau biasa kita guna Microsoft Word, kita akan biasa dengar fungsi watermark. Kalau secara mudahnya macam cop airlah. Tapi, DBP telah menterjemah perkataan watermark kepada tera air. Aik! Kenapa tak cop air atau cap air je?

“Istilah ‘tera air’ digunakan untuk menterjemahkan istilah ‘watermark’. “Tera’ dalam bahasa Melayu bermaksud tanda atau cap yang dicapkan.” – Fariza Nurbaya.

 

Perkataan cetak tak sesuai untuk jelaskan maksud asal. Perkataan cop pula tak ada dalam bahasa Melayu. Tera adalah lebih sesuai sebab maksudnya adalah tanda atau cap yang dicapkan.  Wow! Seronoknya bahasa Melayu kita ni. Macam tu juga, bila perkataan hotspot diterjemahkan kepada kawasan khas. Ia menggunakan teknik yang sama.

“Istilah kawasan khas dipilih berdasarkan kosa kata yang lazim dipakai dalam bahasa Melayu dan jika digunakan perkataan yang lain dibimbangi akan membawa konotasi yang negatif atau maknanya menyimpang daripada maksud istilah asal.”- Fariza Nurbaya.

 

erkataan hot site juga telah diterjemahkan kepada tapak panas dengan mengikut teknik yang ditetapkan. Istilah-istilah ni semua guna Proses Pinjam Terjemah dengan beberapa teknik. Jadi kita pergi ke teknik yang seterusnya…

Ada juga perkataan yang di ambil terus dari bahasa Inggeris dengan diubah sikit ejaan

Kalau kita main Whatsapp ke atau mesej yang lain, selain huruf ada satu lagi elemen penting dalam tu. Kita dah boleh tunjuk reaksi muka kita melalui emoticon. Di mana perkataan ni adalah hasil gabungan emotion+icon. DBP telah menterjemahkan perkataan ini kepada emotikon hanya dengan menukar huruf c kepada k. Tapi kenapa?

“Istilah ‘emotikon’ pula dibentuk menggunakan proses pinjaman iaitu mengambil istilah daripada bahasa asal dan disesuaikan pada bahagian bunyi dan ejaan.”- Fariza Nurbaya.

 

Inilah teknik yang sama digunakan perkataan geography yang menjadi geografi, kinetic kepada kinetik dan structure kepada struktur. Ini adalah teknik proses pinjaman melalui pengambilan dengan perubahan atau penyesuaian ejaan. Selain teknik ni, ada juga teknik yang dipanggil teknik proses pinjaman melalui pengambilan tanpa perubahan ejaan. Kalau senang nak faham kita perhatikan contoh ni:

  1. magnet jadi magnet
  2. linear jadi linear
  3. audit jadi audit
  4. bonus jadi bonus

Macam tu rupanya. Nampaknya Bahasa Melayu ni semakin hari semakin berevolusi dan ia adalah sesuatu yang baik. Kalau korang nak tahu, bahasa Melayu yang kita gunakan sekarang ni juga adalah kesan daripada evolusi sebelum ni. Sebabnya…

Bahasa Melayu pernah berevolusi dari kuno, klasik dan moden

Bahasa Melayu dari dulu lagi selalu berkembang kerana pengaruh kedatangan agama Hindu, Buddha dan Islam. Di tambah pula dengan kedatangan penjajah Eropah. Ada pendapat mengatakan perkembangan bahasa Melayu ada tiga zaman.

Bahasa Melayu kuno dipercayai dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit dan agama Hindu yang kuat, manakala bahasa Melayu klasik dipengaruhi oleh bahasa Arab dan agama Islam, dan bahasa Melayu moden pula banyak menerima pengaruh bahasa penjajah, iaitu bahasa Inggeris.” – Jurnal tulisan Zurina Binti Abdullah.

 

Dari segi tulisan, bahasa Melayu Kuno menggunakan sistem tulisan dari India melalui aksara Pallava dan Devanagari. Bahasa Melayu Klasik pula menggunakan sistem tulisan jawi atau tulisan Arab berbahasa Melayu. Menurut kajian, bahasa Melayu klasik ni wujud sewaktu tertubuhnya kerajaan Islam Samudera-Pasai bawah pemerintahan Sultan Malikul Salih. Apa yang menarik, bahasa Melayu klasik sangat berkembang hingga menjadi enam bahasa yang digunakan dunia Islam.

“Penganut Kristian juga turut menggunakan bahasa Melayu di kawasan Asia Tenggara dan pada masa yang sama, bahasa Melayu telah dibawa ke Sri Lanka dan Afrika Selatan oleh orang Melayu pada abad ke-17 dan ke-18 Masihi.”- Jurnal tulisan Zurina Binti Abdullah.

 

Bahasa Melayu Klasik ni berakhir selepas muncul pendatang dari luar terutamanya barat. Waktu tu juga, orang Belanda ingin menguasai Asia Tenggara pada awal abad ke-19. Pada zaman Melayu moden yang banyak dipengaruhi barat, tulisan rumi telah diperkenalkan. Kajian juga menunjukkan, setiap perubahan zaman ni, akan muncul perkataan-perkataan baru serta struktur ayat yang berlainan.

Kalau bahasa negara lain boleh sesuaikan diri dengan zaman, kita pun boleh juga

Kita pun tahu, dengan perkembangan teknologi dan sains ni, bahasa Inggeris sentiasa paling mendominasi. Jadi, tak peliklah untuk kita tengok muncul istilah baru dalam bahasa Melayu. Usaha ni adalah sesuatu yang baik, sebab di Jepun, Korea dan Jerman juga membuktikan yang bahasa-bahasa mereka cepat menyesuaikan diri dengan zaman sambil membina kecemerlangan ekonomi.

“Apabila pelbagai disiplin ilmu pengetahuan yang ditulis dalam bahasa asing diterjemah dengan segera dalam bahasa ibunda mereka, secara tidak langsung tindakan tersebut dapat memperkasakan lagi bahasa dan kebudayaan tamadun negara mereka.”- Jurnal tulisan Salleh Abdul Rashid & Shuhairimi Abdullah (Unimap).

Jadi, perkataan-perkataan baru tadi memanglah sekarang agak janggal kita nak guna. Tapi, menurut Fariza Nurbaya, perkataan viral yang diterjemah menjadi tular sekarang ni dah makin ramai guna tanpa kita sedar. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.

 

Tarikh Input: 22/09/2020 | Kemaskini: 07/10/2020 | nazlina

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 97691990
03 97693003
SXETCAE~

Hello!