Serdang, 26 Januari 2026 – Kelab Rekreasi dan Kebajikan iDEC (KRiDEC) telah berjaya menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali ke-9 pada 26 Januari 2026 dengan kehadiran seramai 129 orang ahli. Mesyuarat ini telah dirasmikan oleh Penaung KRiDEC, YBhg. Profesor Ts. Dr. Nurfadhlina Mohd Sharef yang juga merupakan Ketua Pegawai Digital (CDO), Universiti Putra Malaysia (UPM).
Dalam ucapan perasmian, Penaung KRiDEC merakamkan penghargaan kepada barisan jawatankuasa serta ahli-ahli kelab atas komitmen dan sokongan berterusan dalam menjayakan pelbagai aktiviti kebajikan dan rekreasi. Beliau turut menekankan peranan penting kelab dalam memupuk semangat kekitaan, kesejahteraan warga kerja serta menyokong persekitaran kerja yang harmoni dan seimbang di UPM.
Mesyuarat dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi KRiDEC yang menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua ahli atas kerjasama dan penglibatan aktif sepanjang sesi lalu. Beliau turut menyentuh pencapaian kelab, cabaran yang dihadapi serta hala tuju KRiDEC dalam merancang dan melaksanakan aktiviti yang lebih berimpak pada masa hadapan.
Antara agenda utama mesyuarat ialah pembentangan laporan aktiviti KRiDEC bagi sesi sebelumnya yang merangkumi pelaksanaan program kebajikan, sukan, rekreasi serta aktiviti sosial yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan dan semangat kekeluargaan dalam kalangan warga iDEC. Laporan kewangan kelab turut dibentangkan bagi memastikan pengurusan dana dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti dan berhemah.
Sesi perbincangan usul dan cadangan telah memberi ruang kepada ahli-ahli untuk menyuarakan pandangan serta idea secara terbuka dan konstruktif demi penambahbaikan berterusan pengurusan dan penganjuran aktiviti KRiDEC.
Penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan KRiDEC Kali ke-9 ini jelas mencerminkan komitmen berterusan kelab dalam mengamalkan tadbir urus yang baik serta memperkukuh peranan KRiDEC sebagai platform kebajikan dan rekreasi yang inklusif. Diharapkan segala keputusan dan perancangan yang telah dipersetujui dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi manfaat kepada semua ahli sepanjang tahun 2026.
Tarikh Input: 29/01/2026 | Kemaskini: 03/02/2026 | zuraya

Universiti Putra Malaysia
UPM Putra InfoPort - IOI Resort
Jalan Kajang - Puchong
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan