Majlis Penyerahan Projek PUTRA®Fiber UPM | PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC) idec
» BERITA » Majlis Penyerahan Projek PUTRA®Fiber UPM

Majlis Penyerahan Projek PUTRA®Fiber UPM

 

SERDANG, 29 Julai 2026 – Universiti Putra Malaysia (UPM) melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila berjaya menyempurnakan pelaksanaan Projek Putra®Fiber UPM, sekali gus menjadi universiti pertama di luar China yang berjaya melaksanakan teknologi Passive Ethernet Network (PEN) menerusi kerjasama strategik bersama Huawei.

Pencapaian ini mencerminkan komitmen UPM dalam memperkukuh infrastruktur digital universiti serta memperkasa kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi memenuhi keperluan warga kampus. Pelaksanaan projek ini melibatkan kerjasama antara Impian Iltizam Sdn. Bhd., Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC) serta kolej-kolej kediaman UPM.

Projek Putra®Fiber dilaksanakan dalam tiga fasa, bermula pada Oktober 2024 dan berjaya disempurnakan pada April 2026. Projek ini melibatkan pemasangan sebanyak 7,456 unit Access Point (AP) di 12 kolej kediaman UPM, sekali gus memperluas dan memperkukuh liputan rangkaian tanpa wayar di kawasan penginapan pelajar. Pelaksanaan projek ini dibiayai melalui peruntukan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12), Rolling Plan Keempat (RP4).

Pelaksanaan teknologi PEN melalui projek ini merupakan satu langkah strategik dalam memperkukuh infrastruktur rangkaian UPM dengan menyediakan asas rangkaian yang lebih bersepadu, cekap dan bersedia untuk memenuhi keperluan digital yang semakin berkembang. Penambahbaikan infrastruktur ini turut memberi tumpuan kepada peningkatan kestabilan, kapasiti dan liputan capaian internet, khususnya di kolej-kolej kediaman yang menjadi antara lokasi utama aktiviti pembelajaran dan kehidupan mahasiswa.

Dengan tersedianya infrastruktur rangkaian yang lebih mantap, warga pelajar dapat menikmati pengalaman capaian internet yang lebih stabil, pantas dan menyeluruh bagi menyokong aktiviti pembelajaran digital, akses kepada sumber akademik, komunikasi serta penggunaan pelbagai platform dan aplikasi dalam talian. Pada masa yang sama, kemudahan ini dapat menyokong usaha universiti dalam mewujudkan persekitaran kampus yang kondusif, berdaya saing dan selari dengan perkembangan teknologi digital semasa.

Kejayaan pelaksanaan Projek Putra®Fiber UPM turut memperlihatkan kepentingan kerjasama strategik antara universiti, rakan industri dan pihak berkepentingan dalam merealisasikan agenda transformasi digital. Kerjasama yang kukuh ini dapat membantu memastikan pembangunan infrastruktur ICT dilaksanakan secara terancang, berkesan dan memenuhi keperluan sebenar komuniti universiti.

Pencapaian ini diharapkan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif digital yang inovatif pada masa hadapan, khususnya dalam memperkukuh kesalinghubungan, meningkatkan pengalaman digital warga kampus dan menyokong aspirasi UPM sebagai universiti yang berdaya saing dalam era pendigitalan.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Projek Putra®Fiber UPM. Semoga iDEC terus cemerlang dalam memperkukuh ekosistem teknologi dan menyediakan perkhidmatan digital yang berkualiti, inovatif serta berimpak tinggi demi menyokong keperluan warga universiti dan kecemerlangan UPM.

Tarikh Input: 31/07/2026 | Kemaskini: 20/08/2026 | zuraya

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 97691990
03 97693003
W, (10:29:05pm-10:34:05pm, 26 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]