Memperkukuh Strategi Berimpak Tinggi | PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
» BERITA » Memperkukuh strategi berimpak tinggi

Memperkukuh strategi berimpak tinggi

24 Januari 2025, Serdang – Majlis Perutusan Naib Canselor 2025 telah berlangsung dengan penuh gemilang di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Acara dimulakan dengan nyanyian nasyid sementara menunggu ketibaan tetamu kehormat. Alunan selawat turut berkumandang mengiringi kemasukan barisan tetamu kehormat ke dalam dewan.

Majlis ini dihadiri lebih 1,500 orang, termasuk kakitangan akademik, pentadbiran, serta ahli majlis perwakilan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM). Acara dimulakan dengan tayangan montaj dokumentari imbasan tahun 2024 sebelum diteruskan dengan amanat dan perutusan oleh Naib Canselor, Yang Berbahagia Dato' Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah. Dalam ucapannya, beliau menegaskan komitmen UPM untuk memperkukuh strategi berimpak tinggi melalui kerangka True North demi mencapai masa depan yang lebih lestari. Dengan fokus pada keterjaminan makanan, kelestarian alam, dan kesihatan planet, UPM akan memperkenalkan Blueprint Kesihatan Planet, melancarkan Pelan Tindakan Keterjaminan Makanan dan mengukuhkan usaha pemberdayaan komuniti.

Acara diteruskan dengan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah, yang diketuai oleh Naib Canselor UPM dan disaksikan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam bin Baki, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Semua hadirin turut menandatangani ikrar secara digital sebagai tanda komitmen mereka.

 

Bagi memudahkan pendaftaran MyDigital ID, Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC) bersama Pejabat Pendaftar dengan kerjasama Pasukan MyDigital ID Jabatan Digital Negara (JDN) telah membuka kiosk pendaftaran. Kiosk ini memberi peluang kepada warga UPM untuk mendaftar serta mendapatkan bantuan teknikal bagi masalah pendaftaran dalam talian. Bukti pendaftaran perlu dimuat naik melalui pautan PutraApps UPM, di mana statistik pendaftaran turut dipaparkan.

Majlis diakhiri dengan sesi lawatan ke pameran. Naib Canselor berkesempatan mencuba Chatbot Keterjaminan Makanan di reruai Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC).

iDEC komited untuk terus berusaha memastikan semua sasaran yang telah ditetapkan tercapai demi mendukung visi dan misi Universiti Putra Malaysia.

[ Galeri gambar ]

Tarikh Input: 25/01/2025 | Kemaskini: 25/01/2025 | nazlina

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 97691990
03 97693003
W, (03:13:59am-03:18:59am, 18 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]