Pelan Hala Tuju Strategik Internet Of Things (IoT) Kebangsaan | PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
» ARTIKEL » Pelan Hala Tuju Strategik Internet Of Things (IoT) Kebangsaan

Pelan Hala Tuju Strategik Internet Of Things (IoT) Kebangsaan

Sumber artikel daripada portal https://www.malaysia.gov.my >>Perkembangan Teknologi Terkini >> Pelan Hala Tuju Strategik IoT Kebangsaan >>Pelan Hala Tuju Strategik Internet Of Things (IoT) Kebangsaan

 

Teknologi Internet of Things (IoT) merupakan evolusi teknologi Internet di mana objek (things) berupaya menghantar data menggunakan peranti melalui Internet untuk menjana maklumat serta pengetahuan baharu, seterusnya memberi nilai tambahan dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti hidup.

 

Latar Belakang

Syarikat perundingan dan penyelidikan terkemuka dalam bidang ICT, Gartner, telah meramalkan bahawa teknologi IoT akan menjana peluang ekonomi di peringkat global sebanyak RM890 bilion di samping penambahan nilai sebanyak RM6,100 bilion menjelang tahun 2020. Dianggarkan IoT akan berkembang pada kadar 34.1 peratus setahun di rantau Asia Pasifik kepada RM203 bilion menjelang tahun 2020. 

Malaysia berada di posisi yang amat baik untuk merebut peluang ekonomi yang dijana oleh IoT. Kadar penembusan Internet jalur lebar pada 67.8 peratus dan selular pada 145 peratus; sektor Elektrik dan Elektronik (E&E) dan telekomunikasi yang matang, asas syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang kukuh; dan juga pelaksanaan pelbagai inisiatif inovasi Kerajaan akan menjadi asas dalam memudahkan pelaksanaan inisiatif IoT.

 

Penyataan Masalah

Ketiadaan ekosistem IoT yang sempurna, ketidakseragaman teknologi-teknologi komponen IoT masa kini dan kebimbangan mengenai tahap keselamatan dan kerahsiaan merupakan faktor-faktor utama yang mengekang pertumbuhan industri IoT negara.

 

Objektif 

Pelan Hala Tuju IoT Kebangsaan ini bertujuan untuk merealisasi visi Malaysia sebagai pusat utama pembangunan IoT serantau dengan misi untuk mewujudkan ekosistem IoT negara yang dapat meluaskan penggunaan dan merangsang industri IoT sebagai sumber pertumbuhan baharu ekonomi negara, dengan mewujudkan industri IoT yang akan menyumbang pendapatan negara kasar yang baharu sebanyak RM9.5 bilion menjelang tahun 2020 dan RM42.5 bilion menjelang tahun 2025;

Terdapat tiga objektif utama yang disasarkan melalui pelaksanaan Hala Tuju Strategik IoT Kebangsaan:

  1. Mewujudkan ekosistem industri IoT yang kondusif untuk merangsang pelaksanaan teknologi IoT dengan lancar 
  2. Memperkukuh kebolehan dan keupayaan usahawan tekno (technopreneurs) dalam pembangunan aplikasi dan perkhidmatan yang berteraskan teknologi IoT 
  3. Menjadikan Malaysia sebagai Hab Pembangunan IoT terulung di rantau Asia.

 

Strategi

Bagi memastikan objektif yang disasarkan dapat dicapai sebaiknya, pelan hala tuju ini telah menggariskan lima strategi iaitu: 

  1. Mewujudkan program peningkatan keupayaan dan kebolehan syarikat usahawan tekno PKS tempatan melalui pendedahan kepada teknologi IoT, sesi percambahan pengetahuan dan sesi perkongsian pengalaman berjadual 
  2. Melaksanakan projek perintis selari dengan pelbagai inisiatif negara sedia ada dan untuk dijadikan model pembangunan dan pelaksanaan teknologi IoT 
  3. Menubuhkan ‘IoT Malaysia’, sebagai Community of Practice, yang terdiri daripada golongan yang berkepentingan dalam industri berasaskan IoT, dengan tujuan meningkatkan prestasi industri, membangunkan modal insan dan bertindak sebagai agen bagi mempromosi ekosistem IoT
  4. Menubuhkan Rangka Kerja Inovasi Terbuka (Open Innovation Framework) untuk menyeragamkan ketidaksamaan teknologi IoT melalui pembangunan komponen-komponen teknologi, dan seterusnya  memperkukuh daya saing usahawan tekno tempatan dengan mengurangkan kerumitan teknologi dan menggerakkan inovasi berdasarkan kepada sistem heterogeneous (beraneka ragam).
  5. Menganjur dan menubuhkan Rangka Kerja Data Komuniti Terbuka (IoT Open Community Data Framework) untuk memudahkan perkongsian maklumat antara industri dan pengguna ke arah peningkatan mutu kehidupan dan kesejahteraan masyarakat. 

 

Outcome/Impak

Pelan hala tuju ini sejajar dengan dasar dan inisiatif yang sedia ada seperti Hala Tuju Strategik ICT Kebangsaan (2012-2020), inisiatif Digital Malaysia, Digital Lifestyle Malaysia dan Indstury4WRD 2018-2025 dan akan memberikan sumbangan positif kepada pembangunan ekonomi Malaysia.

          

Pencapaian

Setakat ini, terdapat lebih daripada 100 aplikasi penyelesaian IoT telah dibangunkan oleh usahawan tekno Malaysia; dan telahpun diguna pakai atau diterima guna oleh sektor awam dan swasta, merentasi pelbagai bidang termasuk pertanian, pengangkutan, dan niaga runcit.

 

Statistik 

Terdapat lebih daripada 15 pusat yang menyediakan sokongan teknikal kepada sektor awam dan swasta dalam usaha mendukung pembangunan IoT di Malaysia.

 

Rantaian Ke Hadapan  

  1. Kerjasama strategik dengan penggiat IoT Malaysia dalam menghasilkan aplikasi IoT dengan tujuan untuk mengukuhkan ekosistem IoT Malaysia ke arah merealisasikan Malaysia sebagai pusat pembangunan IoT serantau dan meluaskan penerapan teknologi IoT
  2. Menggalakkan penggunaan teknologi IoT dalam membantu menjayakan inisiatif kerajaan (contoh: rangka kerja Dasar Industri 4.0 Nasional, Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Nasional dsb)
  3. Memperkukuh daya saing ekosistem dan infrastruktur IoT Malaysia.

 

Pautan

Tarikh Input: 30/06/2020 | Kemaskini: 01/07/2020 | nazlina

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 97691990
03 97693003
SXDdBAA~

Hello!