UPM - IPTA Pertama Guna Teknologi CWDM | PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
» BERITA » UPM - IPTA pertama guna teknologi CWDM

UPM - IPTA pertama guna teknologi CWDM

   

Bintulu, 13 Februari 2025 – Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta sejarah sebagai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pertama di Malaysia dan institusi pengajian tinggi pertama di Borneo yang menggunakan teknologi CWDM (Coarse Wavelength Division Multiplexing) dalam infrastrukturnya. Naib Canselor UPM telah merasmikan perkhidmatan Putra Fiber sempena Majlis Perutusan Naib Canselor Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Sri Kenyalang, UPM Kampus Bintulu Sarawak.

Projek Putra Fiber, yang dilaksanakan oleh Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC), melibatkan penggantian dan naik taraf peralatan rangkaian komputer di semua kolej kediaman Kampus Serdang dan Kampus Bintulu. Projek ini merupakan inisiatif perintis rangkaian Fiber to The Room (FTTR) yang menggabungkan teknologi optik CWDM dan teknologi WiFi-6 bagi menyediakan rangkaian kampus berkelajuan tinggi, lebih stabil serta mampu menyokong permintaan data yang semakin meningkat.

Projek Putra Fiber ini telah berjaya disiapkan di Kolej Sri Rajang, UPM Kampus Bintulu pada 29 November 2024 dalam pelaksanaan 1 fasa sahaja, dengan pemasangan 800 unit AP WiFi-6 dari Ruijie Networks. Dengan nilai pelaburan sebanyak RM1.9 juta, projek ini dijangka meningkatkan pengalaman digital warga UPM Kampus Bintulu secara menyeluruh. Sementara itu, pelaksanaan Fasa 1 Putra Fiber di UPM Kampus Serdang dijangka siap pada penghujung Februari 2025 melibatkan 2 buah kolej kediaman. Fasa 2 dan Fasa 3 akan dilaksanakan selepas itu yang melibatkan 7 buah kolej kediaman dan dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun 2026.

Perasmian Putra Fiber ini turut membuka ruang kerjasama strategik antara UPM dan Ruijie Networks dalam memperkasakan infrastruktur serta transformasi digital di UPM dan Negeri Sarawak. UPM terus komited dalam merealisasikan ekosistem pembelajaran dan penyelidikan yang berasaskan teknologi terkini bagi manfaat mahasiswa serta komuniti akademik secara keseluruhan.

Disediakan oleh: 
Ts. Sayid Mohamad Nazari Sayid Ismail
Bahagian Infrastruktur ICT 

Tarikh Input: 18/02/2025 | Kemaskini: 28/02/2025 | nazlina

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 97691990
03 97693003
X, (01:29:36am-01:34:36am, 14 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]