Kursus Flutter Application Development Perkukuh Kompetensi Pembangunan Aplikasi Digital | PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC) idec
» BERITA » Kursus Flutter Application Development Perkukuh Kompetensi Pembangunan Aplikasi Digital

Kursus Flutter Application Development Perkukuh Kompetensi Pembangunan Aplikasi Digital

 

Kuala Lumpur, 12 Ogos 2026 – Pusat Teknologi Digital, Universiti Kebangsaan Malaysia (DigitalUKM) telah menganjurkan Kursus Flutter Application Development selama tiga hari, bermula 10 hingga 12 Ogos 2026, bertempat di Bilik Kenanga, Aras 1, Pusat Teknologi Digital UKM. Program ini melibatkan penyertaan warga UKM serta peserta daripada institusi pengajian tinggi awam dan agensi swasta, sekali gus menjadi platform perkongsian pengetahuan dan pengukuhan kemahiran dalam pembangunan aplikasi mudah alih.

Kursus ini dikendalikan oleh Encik Muhammad Firdaus bin Mohamad Nor Sing selaku pengajar dengan sokongan Encik Mohd Sharhan bin Abdul Ghani sebagai fasilitator. Pengisian kursus memberi tumpuan kepada penggunaan Flutter, iaitu rangka kerja pembangunan aplikasi yang membolehkan pembangunan aplikasi merentas platform secara lebih tersusun dan efisien. Pendekatan latihan secara praktikal turut memberi peluang kepada peserta untuk memahami konsep pembangunan aplikasi serta mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh melalui aktiviti dan latihan sepanjang kursus.

Seramai 22 orang peserta telah menyertai program ini yang terdiri daripada pelbagai latar belakang organisasi. Penyertaan melibatkan dua orang peserta daripada DigitalUKM (APPS), tiga orang daripada UKMShape, 15 orang daripada institusi universiti awam iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), serta dua orang peserta daripada agensi swasta, iaitu Tridimas.

Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC), UPM turut menghantar lima orang wakil untuk menyertai kursus ini, iaitu Shafik Harafi Shukri, Noor Ashikin Mohamed Noh, Mohammed Faiz Esa, Zurayawati Sulaiman dan Mohd Shafree Ahmad. Penyertaan warga iDEC dalam program ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kompetensi teknikal dan meningkatkan keupayaan pembangunan aplikasi digital bagi menyokong keperluan transformasi digital universiti.

Program seperti ini juga membuka ruang kepada peserta daripada institusi berbeza untuk berkongsi pengalaman, amalan terbaik dan pengetahuan berkaitan teknologi pembangunan aplikasi. Jaringan kerjasama yang terhasil berpotensi memperkukuh hubungan strategik antara institusi pengajian tinggi dan sektor swasta, khususnya dalam bidang teknologi digital dan pembangunan aplikasi.

Melalui penyertaan dalam kursus ini, warga iDEC berpeluang memperkaya pengetahuan dan kemahiran berkaitan teknologi Flutter, di samping meneroka pendekatan pembangunan aplikasi yang lebih inovatif, fleksibel dan berdaya saing. Diharapkan ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam tugasan serta pembangunan penyelesaian digital yang menyokong aspirasi pendigitalan dan penyampaian perkhidmatan ICT yang lebih cekap di UPM.

Tarikh Input: 20/08/2026 | Kemaskini: 20/08/2026 | zuraya

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 97691990
03 97693003
W, (08:42:01am-08:47:01am, 22 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]