Tips Menjadi Pengacara Majlis | PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
» BERITA » Tips Menjadi Pengacara Majlis

Tips Menjadi Pengacara Majlis

SERDANG, 6 Februari 2020: Mempunyai bakat sebagai Pengacara Majlis @ Master of Ceremony (Emcee) memberikan kelebihan kepada seseorang. Majlis, aktiviti atau program tidak sempurna sekiranya tiada Pengacara Majlis. Namun bukan suatu yang mudah untuk menjadi seorang Pengacara Majlis, beberapa tips perlu diikuti bagi memastikan kelancaran program.

Keyakinan, keberanian, serta sanggup menerima kritikan dan kesilapan merupakan sikap yang perlu ada untuk menjadi seorang Pengacara Majlis yang efisien. Manakala takut, malu serta gugup merupakan sikap yang perlu dijauhi. Selain kebolehan atau bakat yang sedia ada, ia juga boleh dipupuk dengan meningkatkan kekerapan menjadi Pengacara Majlis disamping menyertai kursus berkaitan. Sejujurnya, sikap ini perlu ada bukan sahaja perlu sebagai Pengacara Majlis tetapi boleh dipraktikkan di dalam aktiviti yang melibatkan kita untuk memberikan taklimat, pendapat atau pandangan dalam mesyuarat dan sebagainya.

Majlis dikategorikan kepada dua iaitu rasmi/formal atau tidak rasmi/tidak formal. Ulangkaji perlu dilaksanakan bagi membolehkan persediaan rapi dapat dibuat.

Beberapa persediaan (sebagai Pengacara Majlis) perlu dilakukan sebelum menjayakan majlis iaitu:

(1) Maklumat program - perlu mendapatkan seberapa banyak maklumat mengenai program tersebut iaitu objektif serta kategori peserta yang akan hadir.
(2) Penyediaan teks - pemilihan perkataan atau ayat yang sesuai dengan konsep majlis serta kategori peserta (audience).
(3) Latihan (Rehearsal) - untuk mendapatkan dan merasai suasana majlis dengan lebih baik, adalah digalakkan untuk melaksanakan latihan sebelum majlis sebenar (bagi majlis rasmi/formal).
(4) Uji lari bantuan audio visual - memastikan kekuatan suara dan kesesuaian sekiranya menggunakan alat bantu audio visual.
(5) Tenaga - perlu memastikan tenaga mencukupi sehingga ke akhir majlis atau program.
(6) Pengkayaan prosa kata (Vocabulary Enrichment) - memastikan ucapan serta kata-kata yang dilontarkan seperti pada Perkara (2) dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Perkara yang perlu dielakkan:

(1) Perasaan takut dan malu.
(2) Penggunaan perkataan yang tidak bersesuaian.
(3) Kerap mengulang ayat yang sama.
(4) Bertutur dengan laju.
(5) Terlalu terikat dengan skrip.
(6) Membuka pekung sendiri (contoh: memaklumkan bahawa anda adalah Pengacara Majlis ganti atau ini adalah pertama kali anda bertugas sebagai Pengacara Majlis).

Seorang Pengacara Majlis perlu mempunyai identiti/trademark yang tersendiri. Ini penting dan dapat membantu terutamanya jika berlaku perkara-perkara diluar jangka ketika majlis sedang berlangsung. Selian itu, anda juga perlu bijak menggunakan tagline yang bersesuaian, pandai menarik perhatian peserta sehingga ke akhir acara serta berjaya meninggalkan mesej dan kekal di ingatan hadirin.

 

Tarikh Input: 12/02/2020 | Kemaskini: 11/03/2020 | nazlina

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 97691990
03 97693003
SXEXXAT~

Hello!