

Serdang, 17 Mac 2025 – Kelab Kebajikan dan Rekreasi iDEC (KRiDEC) telah menganjurkan Tazkirah Ramadan: Dambakan Kemaafan, Harapkan Keampunan pada hari Isnin, 17 Mac 2025. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Ihya’ Ramadan bagi menyemarakkan amalan dan meningkatkan penghayatan Ramadan dalam kalangan warga Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC), Universiti Putra Malaysia (UPM).
Tazkirah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Norhisyam dari Pusat Islam UPM secara bersemuka di Putra@Smart Classroom, iDEC Alpha, dengan kehadiran barisan AJK KRiDEC serta peserta yang menyertainya melalui platform dalam talian.
Sesi tazkirah Ramadan menekankan kepentingan menghayati bulan Ramadan dengan memperkukuh amalan mulia dan meningkatkan kualiti ibadah. Antara perkara yang ditekankan ialah membudayakan sikap saling memaafkan, memperbanyakkan doa memohon keampunan serta meningkatkan amalan kebajikan dan ibadah sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.
Ramadan merupakan bulan istimewa yang membuka ruang seluas-luasnya kepada umat Islam untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan meraih keampunan-Nya. Para peserta turut diingatkan agar memanfaatkan setiap kesempatan dengan memperbanyakkan doa, membaca al-Quran dan melakukan amal kebajikan.
Program diakhiri dengan sesi soal jawab yang memberi peluang kepada peserta mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan topik yang disampaikan. Diharapkan sesi ini dapat menjadi pemangkin kepada warga iDEC untuk terus meningkatkan penghayatan dan amalan sepanjang Ramadan serta menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Tarikh Input: 27/03/2025 | Kemaskini: 21/08/2026 | zuraya

Universiti Putra Malaysia
UPM Putra InfoPort - IOI Resort
Jalan Kajang - Puchong
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan