Sesi Bual Bicara Kedaulatan Data, Pemacu Kecerdasan | PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC) idec
» BERITA » Sesi Bual Bicara Kedaulatan Data, Pemacu Kecerdasan

Sesi Bual Bicara Kedaulatan Data, Pemacu Kecerdasan

SERDANG, 27 November 2025 – Bersempena Sambutan Bulan Digital UPM 2025, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Sesi Bual Bicara “Kedaulatan Data, Pemacu Kecerdasan” yang berlangsung di Ballroom, Fakulti Pengajian Pendidikan UPM. Sesi ini menjadi platform perkongsian ilmu dan pandangan dalam meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan data sebagai aset strategik serta pemacu kepada kecerdasan dan transformasi digital universiti.

Sesi bual bicara dikendalikan oleh Prof. Nurfadhlina Mohd Sharef, Ketua Pegawai Digital (CDO) UPM, bersama barisan panel yang mempunyai kepakaran dalam bidang data, keselamatan siber, pertanian, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan inovasi digital.

Panel terdiri daripada Prof. Madya Dr. Masrah Azrifah Azmi Murad, Timbalan Pengarah (Data Korporat), Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM; Assoc. Prof. Col(R) Dato Ts. Dr. Husin Jazri, Director, Global Centre for Cyber Safety, School of Computer Science, Taylor’s University; Prof. Dr. Siva Kumar Balasundram, Ketua Jabatan, Fakulti Pertanian UPM; Encik Mahathir Muhammad Rafie, Founder/CEO Aibots Sdn. Bhd.; serta Dr. Mohd Hafeez Osman, Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Inovasi ICT), Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC) UPM.

Perbincangan memberi tumpuan kepada beberapa isu strategik, termasuk transformasi data kepada maklumat dan keputusan strategik, ancaman keselamatan siber serta kepentingan kedaulatan digital dalam mendepani landskap teknologi yang semakin kompleks. Turut dibincangkan ialah pemanfaatan data bagi memperkasa sekuriti makanan, cabaran pengurusan data dalam pembangunan dan penggunaan AI, serta keperluan membangunkan ekosistem AI dan data raya yang kukuh, selamat dan mampan.

Sesi ini turut menekankan bahawa pengurusan data yang berkesan memerlukan tadbir urus yang jelas, perlindungan keselamatan yang menyeluruh serta keupayaan organisasi untuk memanfaatkan data secara bertanggungjawab. Perkongsian daripada barisan panel memberi perspektif pelbagai disiplin mengenai peluang dan cabaran yang perlu diberi perhatian bagi memastikan data dapat dimanfaatkan secara optimum dalam menyokong penyampaian perkhidmatan, penyelidikan dan pembuatan keputusan.

Penganjuran sesi bual bicara ini mencerminkan komitmen UPM untuk memperkukuh budaya berasaskan data serta meningkatkan kesedaran warga universiti terhadap kepentingan kedaulatan data dalam era digital. Inisiatif ini diharap dapat menyokong usaha UPM membangunkan ekosistem digital yang lebih selamat, berdaya tahan dan bersedia menghadapi perkembangan AI serta teknologi masa hadapan.

Tarikh Input: 29/11/2025 | Kemaskini: 20/08/2026 | zuraya

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 97691990
03 97693003
X, (12:07:38am-12:12:38am, 11 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]