Sambutan Bulan Digital UPM 2025 | PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC) 127
» BERITA » Sambutan Bulan Digital UPM 2025

Sambutan Bulan Digital UPM 2025

SERDANG, November 2025 – Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Sambutan Bulan Digital UPM 2025 (BD2025) sepanjang November 2025 sebagai satu inisiatif memperkukuh pembudayaan digital dalam kalangan warga universiti. Penganjuran ini selaras dengan Strategi Utama UPM 2025 yang keempat, iaitu Inisiatif Pembudayaan Digital, sebagaimana yang digariskan dalam Naratif Dato’ Naib Canselor UPM 2025.

Sambutan BD2025 menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kemahiran warga UPM dalam memanfaatkan teknologi digital secara kreatif, berkesan dan bertanggungjawab. Pelbagai pengisian telah dirancang dengan melibatkan penyertaan warga universiti, khususnya pelajar dan staf, melalui pendekatan pembelajaran, perkongsian ilmu, pertandingan serta aktiviti interaktif.

Antara aktiviti yang dianjurkan termasuk kursus kecerdasan buatan (AI), latihan pembudayaan digital yang melibatkan penggunaan platform seperti Google, Microsoft dan Canva, selain Sesi Meja Bulat, webinar, forum serta pemakluman berkaitan pekeliling ICT. Pendekatan ini memberi peluang kepada peserta untuk meneroka teknologi digital dan AI dalam pelbagai konteks, termasuk peningkatan produktiviti, kreativiti, komunikasi dan penyampaian perkhidmatan.

Turut menjadi tarikan ialah pengenalan Senaman AI, yang mengetengahkan penggunaan teknologi secara kreatif dalam menyokong kesejahteraan warga universiti. Selain itu, pelbagai pertandingan turut dianjurkan bagi menggalakkan penyertaan dan penerokaan teknologi secara lebih aktif, antaranya Hackathon, Datathon, Prompt-a-thon, e-Sport, Cabaran TikTok dan Digital Culture Competition Inter-PTJ.

Kemuncak Sambutan BD2025 dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 10 Disember 2025 bertempat di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM. Program kemuncak tersebut bakal menampilkan pelbagai pengisian strategik dan inspiratif, antaranya Townhall Pelan Transformasi Digital UPM 2026–2030, TED Talk Ikon Inspirasi Digital, Pelancaran Putra Fibre serta Digital Exploration Exhibition yang melibatkan rakan strategik ICT.

Sesi ucaptama yang akan disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Naib Canselor UPM turut menjadi antara pengisian utama program kemuncak. Secara keseluruhannya, BD2025 diharap dapat memperkukuh kesediaan digital warga UPM, menggalakkan penerapan teknologi dalam kehidupan dan tugasan harian serta menyokong aspirasi universiti ke arah sebuah organisasi digital yang lebih inovatif, tangkas dan berdaya saing.

 

Tarikh Input: 29/11/2025 | Kemaskini: 20/08/2026 | zuraya

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 97691990
03 97693003
X, (09:14:11am-09:19:11am, 30 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]