Perkongsian Idea Pemangkin Hubungan Dua Hala UPM Dan UTM | PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
» BERITA » Perkongsian idea pemangkin hubungan dua hala UPM dan UTM

Perkongsian idea pemangkin hubungan dua hala UPM dan UTM

13 Ogos 2025, Serdang - Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (IDEC), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima kunjungan lawatan tanda aras daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada jam 9:30 pagi bertempat di Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (IDEC) Infoport. Lawatan ini diadakan sebagai platform perkongsian pengetahuan dan pengalaman berkaitan tadbir urus digital, khususnya dalam pelaksanaan perkhidmatan ICT dan inisiatif transformasi digital di UPM.

Delegasi UTM diketuai oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nasir bin Wan Kadir (Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Digital), Puan Murni Hariyanti Muslim (Penolong Pendaftar Kanan, UTM Digital) dan Puan Norhafizah binti Mohd Hanafiah (Penolong Pendaftar Kanan, Pejabat Pendaftar).

Taklimat lawatan telah disampaikan oleh Ts. Syemsul Bahrin Abdul, Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Perkhidmatan ICT) dan turut dihadiri oleh ahli pengurusan dan pegawai iDEC, yang turut memberikan penerangan terperinci mengenai struktur organisasi, fungsi utama, dan hala tuju strategik iDEC. Fokus utama lawatan ini merangkumi tiga aspek penting iaitu Tadbir Urus Perkhidmatan ICT dan Transformasi Digital di UPM, Carta Fungsi iDEC UPM dan Ringkasan Pelan Strategik Perkhidmatan ICT dan Transformasi Digital UPM.

Melalui sesi lawatan ini, pihak UTM berpeluang mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai amalan terbaik (best practices) yang dilaksanakan oleh UPM dalam memperkukuh kecekapan tadbir urus ICT, selain membuka ruang kerjasama strategik di masa hadapan. Lawatan ini turut menjadi pemangkin kepada hubungan dua hala antara UTM dan UPM, sejajar dengan hasrat kedua-dua universiti untuk memperkukuh agenda pendigitalan selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

 

Disediakan oleh:
Hjh. Ts. Rosliza Ibrahim
Bahagian Pengurusan Strategik dan Governan ICT

Tarikh Input: 15/10/2025 | Kemaskini: 15/10/2025 | zuraya

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 97691990
03 97693003
X, (01:37:32am-01:42:32am, 14 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]