
12 Februari 2026, Serdang - iDEC telah mengadakan lawatan penanda aras ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim Perak. Lawatan setengah hari ini diketuai oleh Timbalan Pengarah Infostruktur dan Inovasi ICT, Ts. Dr. Mohd Hafeez Osman dan disertai oleh 19 pegawai lain yang terlibat dengan pembangunan PutraSIMS terdiri dari pasukan pembangun aplikasi, wakil pengurus infrastruktur, wakil pengurus pangkalan data serta dua (2) orang wakil dari Bahagian Kemasukan dan Bahagian Urus Tadbir Akademik, UPM.
Ketibaan delegasi UPM telah disambut oleh Ketua Pegawai Digital (CDO) UPSI, YBrs. Ts. Dr. Megat Azrin bin Ahmad dan beberapa pegawai utama yang terlibat dan menguruskan sistem maklumat pelajar UPSI. Sesi perkongsian telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat, Bangunan eLearning UPSI.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk menimba ilmu pengetahuan dan perkongsian pengalaman dalam skop pengurusan dan pembangunan sistem maklumat pelajar yang merangkumi rekabentuk dan fungsi sistem; rekabentuk infra dan infostruktur; pengurusan data dan analitik serta operasi; dan sokongan, polisi dan keselamatan. Banyak maklumat telah dikongsikan dan dipelajari melalui sesi lawatan ini. Ia akan digunakan bagi memperkemaskan pengurusan, tadbir urus dan pelaksanaan pembangunan PutraSIMS.

Delegasi UPM berpeluang melawat Pusat Data Utama UPSI yang baharu dirasmikan pada 2024 untuk melihat dengan lebih dekat lagi dashboard pemantauan infrastruktur dan teknologi yang digunakan di pusat data berkenaan. Lawatan diakhiri dengan Delegasi UPM dibawa meninjau Kampus Baharu UPSI di Proton City.
Disediakan oleh:
Ts. Juraidah Mohamad Amin
Ketua Bahagian Pembangunan Aplikasi
Tarikh Input: 28/02/2026 | Kemaskini: 11/03/2026 | zuraya

Universiti Putra Malaysia
UPM Putra InfoPort - IOI Resort
Jalan Kajang - Puchong
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan