![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
13 Mac 2025, SERDANG – Kelab Kebajikan dan Rekreasi (KRiDEC), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyertai Program Gotong-Royong Bubur Lambuk Ramadan 2025 anjuran Pusat Islam UPM sebagai salah satu usaha menyemarakkan semangat kebersamaan, kesukarelawanan dan amalan bersedekah dalam kalangan warga universiti sepanjang bulan Ramadan.
Program yang berlangsung dalam suasana penuh meriah dan harmoni ini menyaksikan penglibatan sukarelawan KRiDEC dalam aktiviti penyediaan serta pembungkusan bubur lambuk. Para sukarelawan bekerjasama dalam melaksanakan tugasan yang telah ditetapkan, sekali gus memupuk semangat berpasukan dan mengeratkan hubungan silaturahim antara warga iDEC.
Bubur lambuk yang telah siap dibungkus kemudiannya diagihkan kepada ahli KRiDEC, manakala sebahagian lagi diserahkan kepada Masjid UPM untuk diagihkan kepada warga universiti dan orang ramai. Proses pengagihan berjalan dengan lancar apabila setiap seksyen dan blok menghantar wakil untuk mengambil bahagian masing-masing.
Penyertaan dalam program ini bukan sahaja memberi peluang kepada warga KRiDEC untuk bersama-sama melaksanakan aktiviti kebajikan, malah menjadi wadah untuk menghayati nilai murni seperti kerjasama, keprihatinan, kesukarelawanan dan saling membantu. Aktiviti seperti ini juga selaras dengan usaha membudayakan amalan kebajikan serta memperkukuh hubungan sesama warga kerja.
Sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan sumbangan yang diberikan, semua peserta yang terlibat akan menerima sijil penghargaan. Penghargaan tersebut diharap dapat menjadi kenangan serta motivasi kepada warga KRiDEC untuk terus menyumbang dalam program kebajikan dan kemasyarakatan pada masa akan datang.
Program ini membuktikan bahawa semangat Ramadan bukan sahaja diterjemahkan melalui ibadah, tetapi turut dizahirkan menerusi amalan berkongsi rezeki, membantu komuniti dan mengukuhkan semangat kekitaan dalam kalangan warga UPM.
Tarikh Input: 28/03/2025 | Kemaskini: 21/08/2026 | nazlina

Universiti Putra Malaysia
UPM Putra InfoPort - IOI Resort
Jalan Kajang - Puchong
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan