![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
21 Mac 2025, SERDANG – Kelab Kebajikan dan Rekreasi iDEC (KRiDEC) telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran dan Tahlil 2025/1446H sebagai salah satu pengisian Program Ihya’ Ramadan bagi menyemarakkan amalan keagamaan serta meningkatkan penghayatan bulan Ramadan dalam kalangan warga Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC), Universiti Putra Malaysia (UPM).
Majlis yang berlangsung pada 21 Mac 2025 (Jumaat), jam 9.00 pagi itu diadakan secara dalam talian menerusi platform Google Meet, dengan penyertaan warga iDEC. Walaupun dilaksanakan secara maya, pengisian majlis tetap berlangsung dalam suasana penuh tertib dan khusyuk, sekali gus menyediakan ruang kepada warga iDEC untuk bersama-sama menghayati keberkatan Ramadan.
Bagi memastikan kelancaran bacaan, para qari yang dilantik telah berkumpul secara bersemuka di Putra@Smart Classroom, iDEC Alpha, UPM, manakala para hadirin mengikuti majlis secara maya dari lokasi masing-masing. Bacaan khatam Al-Quran dimulakan dengan Surah Ad-Dhuha dan diakhiri dengan Surah An-Nas, yang dipimpin oleh tujuh orang qari yang telah dilantik.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah serta ayat pertama hingga kelima Surah Al-Baqarah sebagai simbolik kesinambungan membaca, memahami dan menghayati Al-Quran dalam kehidupan seharian. Seterusnya, bacaan tahlil dipimpin oleh ketua qari sebagai tanda penghormatan dan doa untuk kesejahteraan arwah yang telah didaftarkan.
Penganjuran majlis ini bukan sahaja menyemarakkan pengisian Ramadan, malah mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan warga iDEC. Program seumpama ini diharapkan dapat terus menjadi wadah pengukuhan nilai kerohanian dan kebajikan warga kerja.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Tarikh Input: 28/03/2025 | Kemaskini: 21/08/2026 | nazlina

Universiti Putra Malaysia
UPM Putra InfoPort - IOI Resort
Jalan Kajang - Puchong
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan