Majlis Graduasi Tingkatan 5, 2019 SMK Pendeta Za’ba | PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
» BERITA » Majlis Graduasi Tingkatan 5, 2019 SMK Pendeta Za’ba

Majlis Graduasi Tingkatan 5, 2019 SMK Pendeta Za’ba

 

Palm Seremban Hotel, 29 September 2019 : Pengarah Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC), Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Fatimah Sidi, dijemput bagi menyempurnakan dan merasmikan Majlis Graduasi Tingkatan 5, 2019 kali ke-6, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendeta Za’ba, Taman Paroi Jaya, 70400, Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus. Majlis ini diadakan bagi menghargai pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan pelajar Tingkatan 5 yang kini berada pada tahun akhir persekolahan.

Pengetua SMK Pendeta Za’ba, Yang Berusaha Tuan Haji Awalludin bin Mat Din yang merupakan alumni UPM, mengharapkan majlis sebegini dapat melahirkan rasa cinta dan sayang pelajar kepada sekolah yang menjadi tempat menuntut ilmu di samping memberi pengalaman dan kenangan manis sepanjang persekolahan di SMK Pendeta Za’ba. Beliau juga mengharapkan ianya menjadi pemangkin dalam merealisasikan kecemerlangan setiap pelajar dan kepada sekolah amnya. Majlis dihadiri oleh guru Penolong Kanan, guru-guru, ibu bapa dan pelajar yang diraikan serta diserikan dengan kehadiran wakil Ketua Pegawai Pendidikan Dearah Seremban, Yang Berbahagia Encik Azhar bin Hashim dan NYDP PIBG SMK Pendeta Za’ba Yang Dihormati Encik Abdul Rahman bin Wasis yang juga merupakan alumni UPM.

Menurut Prof. Madya Dr. Fatimah Sidi, Pengarah Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC) UPM, penganjuran majlis seumpama ini juga memberi motivasi, perangsang dan ingatan agar pelajar dapat meningkatkan persediaan diri dari segi aspek psikologi di samping persediaan intelek untuk mencapai keputusan yang cemerlang. Sesungguhnya memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah sangat penting untuk meneruskan hasrat menuntut ilmu ke peringkat yang lebih tinggi. Beliau juga menyatakan Institusi Pengajian Tinggi adalah tempat di mana pelajar akan meneruskan pengajian di peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah dan seterusnya ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang tertentu. Berkemungkinan juga pelajar akan ditawarkan untuk menyambung pengajian di unversiti ternama di luar negara dengan penajaan kerajaan atau pihak swasta.

Tahniah diucapkan kepada pelajar yang telah menerima anugerah sekali gus dinobat sebagai tokoh. Empat anugerah telah disampaikan iaitu Tokoh Sahsiah (Anugerah Za’ba) dianugerah kepada Nur Farah Amirah binti Hasdi; Tokoh Kokurikulum (Anugerah Misbun) diterima oleh Irdina Qaisara binti Zakri; Tokoh Kepimpinan (anugerah Tun Mahathir) dinobat kepada Muhammad Amir bin Mansor; dan Tokoh Akademik (Anugerah Ungku Aziz) disampaikan kepada Muhammad Danish bin Razlanshah.

Prof. Madya Dr. Fatimah Sidi juga menyarankan dan mengingatkan kepada para pelajar supaya mengamalkan membaca Al Quran setiap hari (jika belum melakukannya lagi) sementara menanti hari peperiksaan. Jika ayat Al Quran sudah mengalir dalam tubuh kita, In Syaa Allah peperiksaan SPM yang diduduki akan menjadi mudah. Ingat iaNya adalah mukjizat Nabi Muhammad SAW hingga akhir zaman. Semoga para pelajar mendapat keputusan yang terbaik dan cemerlang dalam peperiksaan SPM.

Tarikh Input: 04/11/2019 | Kemaskini: 05/11/2019 | nazlina

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 97691990
03 97693003
CVMGExR:04:49