Hala Tuju Dan Perancangan Strategik IDEC | PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
» BERITA » Hala tuju dan perancangan strategik iDEC

Hala tuju dan perancangan strategik iDEC

6 Disember 2024, Genting Highland - Bengkel Semakan Hala Tuju Dan Perancangan Strategik Pusat Pembangunan Maklumat Dan Komunikasi (iDEC) telah diadakan pada 6 sehingga 8 Disember 2024 bertempat di Swiss-Garden Hotel and Residence Genting Highland. Bengkel yang telah dihadiri oleh seramai 34 pegawai iDEC, bertujuan untuk menilai pencapaian keseluruhan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) iDEC di dalam Pelan Strategik UPM 2021-2025, Naratif Naib Canselor UPM 2023 dan Pelan Pendigitalan UPM 2021-2025. Bengkel juga diadakan bagi mengenalpasti keberkesanan strategi serta perubahan atau penambahbaikan yang diperlukan bagi membangunkan Pelan Transformasi Digital UPM. Selain itu, semakan semula dan penambahbaikan Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) ISO 9001 dan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) ISO 27001 melalui Objektif Kualiti dan Pelan Fungsian Aras telah diadakan.

Sesi pertama diadakan dengan pembentangan laporan analisis jurang ICT bagi semua projek pendigitalan yang terdapat dalam Pelan Pendigitalan UPM 2021-2025 serta analisis SWOT setiap bahagian. Beberapa isu dan cabaran serta cadangan penambahbaikan disenaraikan hasil daripada dapatan melalui kajian aspirasi digital yang telah diedarkan kepada semua PTJ di UPM.

Sesi diteruskan dengan pembentangan mengenai Pejabat Pengurusan Projek (PMO) di mana rasional penubuhan PMO adalah berperanan sebagai pusat kawalan yang menguruskan, memantau, dan memastikan penyelarasan strategik di antara projek-projek dalam organisasi. Tujuan penubuhan PMO juga berhasrat untuk mengurangkan kebarangkalian kegagalan projek melalui pemantauan yang lebih dekat dan peningkatan keupayaan dalam pengurusan perubahan.

Hari kedua diteruskan dengan sesi kedua iaitu perbincangan bagi menghasilkan program untuk Pelan Transformasi Digital yang berasaskan kerangka strategik ICT UPM yang telah dibangunkan. Beberapa program telah dikenalpasti dan dirancang mengikut 5 teras utama iaitu:

  1. Perkhidmatan Digital Yang Cekap Menjangkaui Ekspektasi
  2. Fasiliti ICT Pemangkin Penyelidikan Berimpak Tinggi
  3. Produk ICT Yang Bermanfaat Kepada Pemegang Taruh
  4. Pengalaman Pembelajaran Terbaik Melalui Pendidikan Digital
  5. Pembudayaan Kampus Pintar Bersepadu  Mengutamakan Pengalaman Pengguna

 

Program juga merangkumi aktiviti berkaitan keterjaminan makanan UPM.

Semakan dan pemurnian Objektif Kualiti iDEC telah diadakan pada sesi ke-3 iaitu hari terakhir bengkel. Persetujuan telah diperolehi di mana iDEC akan menggunakan petunjuk prestasi utama (KPI) ICT UPM terkini dan piagam pelanggan dimurnikan sejajar dengan KPI ICT UPM. Tiada perubahan untuk pelan fungsian dan aras. Hasil pemurnian ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kualiti iDEC untuk pengesahan sebelum dilaksanakan bagi tahun 2025.

Sesi bengkel ini telah mengeratkan lagi jalinan kerjasama di kalangan Pengurusan dan pegawai kanan iDEC serta menghasilkan draf pembangunan pelan digital transformasi juga objektif kualiti terkini.

 

Disediakan oleh:
Ts. Nor Azlina binti Zainal Abidin

Tarikh Input: 09/12/2024 | Kemaskini: 10/12/2024 | nazlina

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 97691990
03 97693003
W, (04:06:45pm-04:11:45pm, 14 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]