

13 Februari 2026, Serdang – Kelab Kebajikan dan Rekreasi iDEC (KRiDEC), Universiti Putra Malaysia telah berjaya menganjurkan Bengkel Tajwid dan Majlis Bacaan Yasin pada Jumaat, 13 Februari 2026, bertempat di Ruang Legar, iDEC Gamma, Putra Infoport.
Program yang dilaksanakan secara hibrid ini dikendalikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Hafiz bin Ghazali dari Pusat Islam UPM. Sesi ini memfokuskan kepada pemantapan hukum tajwid asas sebagai persediaan rapi buat warga iDEC bagi mengikuti aktiviti tadarus sempena bulan Ramadan yang bakal tiba. Selain perkongsian teori, bengkel ini turut memberi ruang kepada para peserta untuk memperbaiki bacaan secara talaqqi dan berinteraksi terus dengan penceramah.
Selesai sesi bengkel pada jam 10.30 pagi, majlis diteruskan dengan bacaan Yasin dan doa selamat yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Hafiz. Selain memohon keberkatan dan kelancaran urusan kerja, majlis ini juga menjadi platform bagi mendoakan kesejahteraan seluruh warga iDEC agar diberikan kesihatan yang baik untuk menjalani ibadah pada bulan mulia nanti. Program diakhiri dengan jamuan makan secara potluck yang disertai oleh para peserta dan pihak pengurusan.
Sambutan yang amat baik daripada warga iDEC mencerminkan komitmen warga kerja dalam memperkukuh kualiti bacaan al-Quran dan menjaga ukhuwah sesama rakan sekerja. KRiDEC merakamkan ucapan terima kasih kepada penceramah dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Adalah diharapkan agar pengisian ilmu ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua warga iDEC sepanjang bulan Ramadan kelak.
Tarikh Input: 25/02/2026 | Kemaskini: 25/02/2026 | zuraya

Universiti Putra Malaysia
UPM Putra InfoPort - IOI Resort
Jalan Kajang - Puchong
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan