
SERDANG, 26 Februari 2026 – Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Bengkel Penyelarasan Pemakaian Pekeliling ICT Siri 2 bertempat di Thinker Space 2.0, Fakulti Kejuruteraan. Bengkel ini merupakan salah satu usaha iDEC untuk memperkukuh tadbir urus ICT serta memastikan pemakaian pekeliling dan garis panduan ICT di UPM dilaksanakan secara terselaras, sistematik dan berkesan.
Bengkel ini bertujuan menyelaras pemakaian pekeliling, dasar dan garis panduan ICT yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan dengan keperluan serta konteks pelaksanaan di UPM. Penyelarasan ini penting bagi memastikan setiap keperluan yang ditetapkan dapat difahami dengan jelas dan diterjemahkan secara konsisten dalam pelaksanaan pengurusan serta operasi ICT universiti.
Program ini turut menjadi kesinambungan kepada Bengkel Penyelarasan Pemakaian Pekeliling ICT Siri 2 yang telah dilaksanakan pada 8 Oktober 2025. Pelaksanaan bengkel susulan ini memberi ruang kepada peserta untuk meneliti perkembangan, mendapatkan penjelasan lanjut serta menyelaraskan tindakan berkaitan perkara-perkara yang telah dikenal pasti sebelum ini.
Peserta bengkel terdiri daripada pegawai iDEC yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan kerja, iaitu Kumpulan Data, Kumpulan Infrastruktur (Infra) dan Kumpulan Web. Pembahagian mengikut bidang ini membolehkan perbincangan dilaksanakan dengan lebih terarah berdasarkan fungsi, skop tugas serta keperluan teknikal setiap kumpulan.
Melalui sesi perbincangan dan penyelarasan yang dilaksanakan, peserta berpeluang berkongsi pandangan, mengenal pasti isu pelaksanaan serta membincangkan pendekatan yang bersesuaian bagi memastikan pematuhan terhadap pekeliling dan garis panduan ICT dapat diperkukuh.
Secara keseluruhannya, bengkel ini diharapkan dapat menyokong usaha iDEC dalam memperkemas pengurusan dan tadbir urus ICT UPM, di samping memastikan pelaksanaan dasar dan peraturan ICT sentiasa relevan, teratur dan selaras dengan keperluan semasa universiti.
Tarikh Input: 30/03/2026 | Kemaskini: 20/08/2026 | zuraya

Universiti Putra Malaysia
UPM Putra InfoPort - IOI Resort
Jalan Kajang - Puchong
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan