
Sepang, 23 Julai 2025 – Bahagian Pengurusan Maklumat, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Enfrasys Solutions Sdn. Bhd. telah menganjurkan Bengkel Pentadbir Aplikasi Microsoft 365 Siri 1 di bawah Kontrak Microsoft 365 Secara Berpusat pada 23 dan 24 Julai 2025 di Hotel Ibis Styles Sepang, KLIA.
Majlis yang dirasmikan oleh wakil KPT ini adalah khusus untuk pentadbir Microsoft 365 dari universiti awam seluruh Malaysia. Encik Mohamad Hafiz bin Mohamad Zamri dan Encik Rosrizal Mohd Zain daripada Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi telah menghadiri bengkel tersebut sebagai wakil daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).
Sepanjang dua hari penganjuran, sesi pembelajaran dijalankan secara interaktif meliputi pengenalan Microsoft 365, pengurusan portal dan akaun, penggunaan Microsoft Copilot, pengurusan e-mel, keselamatan, kolaborasi melalui Microsoft Teams, pengurusan OneDrive, pengendalian endpoint dan keselamatan e-mel.
Melalui bengkel ini, peserta berpeluang bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan membina rangkaian profesional sesama pentadbir dari institusi berbeza.
Penganjuran bengkel ini diharap dapat memperkukuh kemahiran teknikal pentadbir Microsoft 365 di universiti awam, seterusnya menyokong aspirasi KPT untuk memperluas penggunaan teknologi kolaborasi digital dalam pendidikan tinggi negara.
Disediakan oleh:
Mohamad Hafiz bin Mohamad Zamri
Bahagian Sokongan Pengguna
Tarikh Input: 15/08/2025 | Kemaskini: 28/08/2025 | zuraya

Universiti Putra Malaysia
UPM Putra InfoPort - IOI Resort
Jalan Kajang - Puchong
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan