Serdang, 26 Februari 2025 – Majlis Amanat Ketua Pegawai Digital (CDO) dan Perhimpunan Staf Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC) 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Putra Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM). Majlis ini dirasmikan oleh Ketua Pegawai Digital (CDO) dan dihadiri oleh warga iDEC dari pelbagai bahagian.
![]() |
![]() |
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan amanat CDO YBhg. Prof. Ts. Dr. Nurfadhlina Mohd Sharef dimana beliau menekankan kepentingan inovasi digital serta peranan staf iDEC dalam merealisasikan transformasi digital di UPM. Beliau turut menyeru semua warga iDEC untuk terus komited dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan dan penyelidikan teknologi maklumat di UPM.
Acara diteruskan dengan sesi Townhall dan dialog bersama staf, yang memberi ruang kepada para hadirin untuk berinteraksi dan menyuarakan pandangan serta cadangan terhadap hala tuju organisasi. Sesi ini mendapat sambutan hangat dengan pelbagai persoalan dan idea konstruktif yang dikemukakan.
Sebagai penghargaan kepada staf yang cemerlang, beberapa anugerah telah disampaikan dalam majlis ini, termasuk Anugerah EKSA 2024 dan Anugerah Golden Keyboard 2024. Selain itu, pasukan koir iDEC turut menerima penghargaan atas usaha mereka dalam mewakili institut dalam pelbagai acara rasmi. Majlis turut memberi penghormatan kepada staf yang bakal bersara sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka kepada institusi.
Selepas sesi rasmi, para hadirin menikmati jamuan makan tengah hari sambil dihiburkan dengan persembahan iDEC busker. Sambutan hari lahir bagi staf yang lahir pada bulan Januari, Februari dan Mac turut diraikan dalam suasana penuh keceriaan.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama semua hadirin sebelum bersurai. Perhimpunan ini bukan sahaja menjadi platform untuk penyampaian amanat dan penghargaan, tetapi juga mengeratkan ukhuwah serta semangat kebersamaan dalam kalangan staf iDEC.
Tarikh Input: 28/02/2025 | Kemaskini: 28/02/2025 | nazlina

Universiti Putra Malaysia
UPM Putra InfoPort - IOI Resort
Jalan Kajang - Puchong
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan