PERUTUSAN PENGARAH | PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
» MENGENAI KAMI » PERUTUSAN PENGARAH

PERUTUSAN PENGARAH

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita masih diberi kesihatan yang baik bagi melaksanakan amanah dan tugasan yang telah diberikan. Marilah kita bersama-sama untuk terus menaburkan bakti, keringat ke arah peningkatan amalan, kerjaya serta sumbangan kita.

Seperti sedia maklum, 2017 merupakan tahun yang mencabar dengan situasi ekonomi yang tidak menentu menyebabkan kerajaan terpaksa mengurangkan peruntukan jabatan kerajaan. Mengambil petikan semasa amanat tahun baharu Naib Canselor UPM 2017, Ybhg Professor Datin Paduka Dr. Aini Ideris telah menyatakan bahawa universiti berdepan dengan pelbagai cabaran dan situasi khususnya berkaitan pendanaan dan pembiayaan pendidikan tinggi.

Ia adalah cabaran global, dan tidak seharusnya melemahkan kita, sebaliknya menjadi pemangkin kepada UPM untuk terus mengorak langkah ke hadapan. Beliau telah mengajak semua warga UPM agar terus kreatif dan inovatif dalam mengarusperdanakan keusahawanan, selain menyasar untuk menjana pendapatan sendiri secara berperingkat.

Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC) yang merupakan tunjang dalam perkhidmatan ICT UPM tetap perlu meneruskan dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh warga kampus.

Sejajar dengan saranan Kementerian Pengajian Tinggi dan juga Naib Canselor untuk memantapkan tadbir urus jabatan dengan meningkatkan skil dan kompetansi staf, iDEC akan sentiasa berusaha keras bagi memperbaiki perkhidmatan yang ditawarkan.

Penstrukturan iDEC yang telah dilaksanakan pada tahun 2016 dan 2017 akan dikaji keberkesanan serta mendapatkan impak pelaksanaannya. Dengan terhasilnya 15 pembangunan sistem ICT pada tahun 2016, iDEC akan terus berusaha memantapkan pembangunan. Aktiviti yang dapat menjana pendapatan serta transformasi dan penambahbaikan perkhidmatan akan juga dilaksanakan. iDEC beriltizam untuk menjayakan serta menyokong segala perancangan yang telah diatur dalam Pelan Strategik ICT UPM (2016 – 2020).

Akhir sekali, kepada seluruh warga kerja iDEC, marilah kita sama-sama berganding bahu menjalankan tugas dengan ikhlas dan profesional demi memberi perkhidmatan ICT yang terbaik kepada Universiti Putra Malaysia.

fatimah

PROF. MADYA DR. FATIMAH SIDI
Pengarah Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC)
Universiti Putra Malaysia

Kemaskini:: 09/10/2017 [nazlina]

PERKONGSIAN MEDIA

B1566396518