UTeM : Kampus Tanpa Tunai | PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
» ARTIKEL » UTeM : Kampus Tanpa Tunai

UTeM : Kampus Tanpa Tunai

Selaras dengan perkembangan teknologi digital masa kini, UTeM telah mengorak langkah dalam memperkenalkan inisiatif kampus tanpa tunai (cashless).  Usaha ini adalah seiring dengan hasrat universiti ke arah mencapai status kampus pintar dan turut juga menyokong hasrat kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan transaksi pembayaran tunai menjelang tahun 2020 dalam menyediakan akses, fleksibiliti dan pilihan kepada pengguna serta memberi pengalaman pembayaran mudah dan selamat.

Bermula Januari 2018 pelbagai usaha telah dipergiatkan bagi memastikan projek kampus tanpa tunai dapat dilaksanakan di UTeM. Antara usaha-usaha yang telah dilakukan ialah  memperkenalkan kad Unidebit Bank Islam kepada setiap staf dan pelajar. Kad Unidebit Bank Islam ini mempunyai dwifungsi utama iaitu sebagai kad identiti (Kad ID) dan juga kad bank. Kad  ID digunakan bagi tujuan rekod kehadiran dan kawalan keselamatan keluar dan masuk (door access) manakala kad bank digunakan untuk membuat urusniaga pembayaran, pengeluaran wang dan sebagainya.

Dalam memperkasakan dan memastikan pelaksanaan kampus tanpa tunai terus berjaya, Pengurusan Universiti juga turut menguatkuasakan pembayaran dan terimaan tanpa tunai di semua kaunter perkhidmatan universiti bagi pembayaran yuran, denda dan pelbagai hasil universiti yang lain. Kaunter-kaunter yang terlibat antaranya Kaunter Pej. Bendahari, Kaunter Kolej Kediaman, Kaunter Perpustakaan Laman Hikmah, Kaunter Pej. Keselamatan dan lain-lain lagi.

Selain daripada itu, perkhidmatan dan kemudahan perbankan internet juga turut diperluaskan dengan pelaksanaan pembayaran melalui Financial Process Exchange (FPX), Mastercard Internet Gateway (MiGS), JomPAY dan e-Wallet.

Konsep tanpa tunai juga turut digalakkan bagi sebarang urusniaga yang dilakukan di kafeteria dan koperasi universiti.

Diharap dengan pelaksanaan projek kampus tanpa tunai ini menjadi pemangkin kepada gaya hidup baharu di kampus serta menawarkan urus niaga tanpa tunai yang lebih mudah, pantas, selamat untuk warga kampus. Ianya juga adalah sebagai salah satu cara bagi mendidik warga kampus ke arah gaya hidup digital.

 

Biodata Pembentang :

Mohd. Isa Mohd. Dom merupakan Ketua Pegawai Maklumat (CIO) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang berperanan mengawal tadbir urus penggabungan tiga (3) Pusat Tanggungjawab iaitu Pusat Perkhidmatan Pengetahuan dan Komunikasi, Perpustakaan Laman Hikmah dan Penerbit Universiti.  Peranan utama beliau adalah meningkatkan tahap keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan dan bertanggungjawab dalam menyediakan Pelan Strategik serta taktikal Pembangunan Pengurusan Pengetahuan di UTeM, sekaligus merangkumi Pengurusan Teknologi Maklumat, Pengurusan Pusat Sumber Rujukan dan Repositori dan Pengurusan Penerbitan.

Berasal daripada Johor Darul Takzim, beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur (1980) dan memiliki Diploma Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) (1984) serta Ijazah Sains Komputer daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun 1998.

Beliau pernah bertugas sebagai Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di Institut Sains Komputer, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (1985 – 1990); Juruanalisa Komputer di Pusat Komputer, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (1990 – 1994); Juruanalisa Sistem Kanan/Pengurus Projek Syarikat Bisofware, NSTT, Kuala Lumpur (1994 – 1996); Pengurus Pembangunan Perisian Syarikat Micro House, Johor Bharu (1996 – 1998); IT Freelance (1998 – 2001); Pengarah Pusat Komputer di Kolej Universiti Teknikal Melaka (KUTKM) (2001 – 2010) dan pernah menjawat jawatan Pengarah Pusat Komputer di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) (2010 – 2015).

Berpengalaman dan berkemahiran dalam merancang dan mengurus projek-projek pembangunan dan penyelenggaraan sistem maklumat di UTeM (Sistem Maklumat Pelajar (SMP), Sistem Maklumat Sumber Manusia (SMSM), Sistem Maklumat Kewangan Bersepadu (SMKB), Sistem Maklumat Pengajian Siswazah (SMPS), Sistem Maklumat Penyelidikan Universiti (URIS). Selain dari merancang dan mengurus projek dalaman, beliau juga merupakan salah seorang ahli Jawatankuasa ICT Kementerian dari tahun 2012 sehingga sekarang dan juga berperanan sebagai salah seorang Lembaga Pengarah Neraca Niaga Sdn. Bhd, iaitu salah sebuah anak syarikat UTeM, dari tahun 2014 sehingga Mei 2019.  Selain itu, beliau turut menyandang jawatan sebagai Pengerusi Koperasi UTeM semenjak tahun 2006 sehingga awal tahun 2019 dan merupakan Pengerusi bagi Mesyuarat Majlis Pengarah-pengarah ICT IPTA (MAPITA) dari tahun 2011 sehingga kini.

< Slaid pembentangan >

Tarikh Input: 30/08/2019 | Kemaskini: 30/08/2019 | nazlina

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 97691990
03 97693003
SXDcUAZ~

Hello!