UPM : Smart Spatium - Ruang Kerja Koloboratif Dinamik Untuk Kampus Pintar | PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
» ARTIKEL » UPM : Smart Spatium - Ruang kerja Koloboratif Dinamik untuk Kampus Pintar

UPM : Smart Spatium - Ruang kerja Koloboratif Dinamik untuk Kampus Pintar

Smart Spatium adalah ruang kerja kolaborasi dinamik dalam talian yang dibangunkan untuk pelajar universiti sebagai platform untuk berkongsi dokumen tanpa mengira masa dan tempat. Ia memudahkan pelajar untuk melakukan kerjasama dan perbincangan yang lebih aktif. Masalah mengenai koordinasi kerja, ketidakupayaan untuk membuat penyuntingan dokumen, kurangnya platform sandaran, dan kekurangan mekanisme yang dapat memberikan bukti sumbangan di kalangan ahli kumpulan telah dapat diatasi dengan aplikasi ini.

Komited untuk menambah baik kolaborasi ahli kumpulan bagi tujuan perlaksanaan projek mahu pun tugasan kuliah tanpa mengira jarak georafi yang berbeza, aplikasi ini  membenarkan para pelajar untuk bekerjasama dengan lebih berkesan dan komited dalam setiap perbincangan, dan yang paling penting mereka boleh melihat sumbangan setiap ahli kumpulan masing-masing secara individual secara lebih objektif dan telus. Konteks ini mungkin dilihat agak berbeza sedikit dari sudut perspektif  pensyarah/pengajar, yang mana penilaian yang dilakukan ke atas pelajar melalui aplikasi ini bukanlah pengganti kepada kaedah penilaian sedia ada tetapi lebih kepada  membantu dan memudahkan proses penilaian tersebut. Ia juga berfungsi sebagai platform berpusat untuk menyimpan folder dan membolehkan dokumen-dokumen tugasan diuruskan dengan lebih mudah dan tersusun. Dibangunkan menggunakan metodologi Pembangunan Aplikasi Pantas (RAD), aplikasi ini sangat sesuai untuk pembelajaran maya bagi generasi baru dan komuniti amalan (CoP) dalam talian, justeru mampu  meningkatkan trend dan kaedah pendidikan tinggi semasa.

Smart Spatium juga direka supaya para pengguna dapat menikmati pengalaman yang serupa yang didapati daripada penggunaan media sosial, di mana mereka boleh berkongsi ulasan dalam garis masa mereka. Selain itu, mereka juga boleh menulis komen mengenai tugasan atau projek kumpulan mereka. Dan pada masa yang sama juga, mereka akan dimaklumkan akan semua notifikasi yang dipaparkan pada garis masa mereka. Dengan adanya ciri-ciri ini, secara tidak langsung mereka akan menjadi lebih peka dan fokus pada tugasan atau projek mereka sehingga selesai.

Aplikasi ini dibangunkan bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelajar apabila kolaborasi diperlukan, tetapi juga untuk menanam dan memupuk rasa dipunyai oleh masyarakat yang menggalakkan tanggungjawab terhadap kerja, dan koordinasi kerja secara pintar di kalangan ahli kumpulan mereka semasa melakukan tugasan atau projek.

Smart Spatium adalah pelengkap kepada sistem pendidikan sedia ada yang melibatkan kelas konvensional, perbincangan secara fizikal dan penilaian manual. Untuk institusi pengajian tinggi seperti universiti dan kolej, ini akan menjadi nilai tambah yang bukan sahaja memudahkan proses pembelajaran pelajar tetapi juga pengajaran pensyarah dan tugas-tugas lain yang berkaitan termasuklah penilaian pelajar. Dari semasa ke semasa, amalan pendidikan tinggi khususnya pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada secara beransur-ansur akan mengadaptasi trend yang lebih dinamik dan efisyen terutamanya dengan teknologi baru yang menyokong kerjasama berpasukan serta kaedah penilaian yang lebih dinamik.

 

Biodata Pembentang :

Dr. Salfarina Abdullah merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Kejuruteraan Perisian dan Sistem Maklumat, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia.  Berasal dari Kuala Lumpur, beliau menerima pendidikan awal di SRK Jalan Gurney 2, dan merupakan alumni Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya Selangor (yang sebelum ini terletak di Jalan Kolam Ayer, KL). Mempunyai kelayakan peringkat doktor falsafah dalam bidang Pengurusan Ilmu (Knowledge Management) dari UPM, beliau juga memiliki ijazah sarjana dalam bidang Pengurusan Sistem Maklumat (MIS) dan ijazah sarjana muda Sains Komputer dari universiti yang sama. 

Berpengalaman berkhidmat sebagai seorang tutor di UPM selama lebih 10 tahun sebelum dilantik sebagai pensyarah kanan pada tahun 2012 sehingga kini. Sepanjang penglibatan sebagai ahli akademik, terutamanya di universiti penyelidikan, banyak penyelidikan telah dihasilkan dalam bidang pengurusan ilmu (khususnya dalam ruang lingkup kejuruteraan perisian), pengurusan sistem maklumat serta pengurusan projek perisian.  

Hasil kajian-kajian ini telah dibentangkan dalam pelbagai seminar peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau juga merupakan ahli kumpulan penyelidikan Applied Informatics (AiRG), Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, UPM yang mana baru sahaja selesai menganjurkan persidangan peringkat antarabangsa iaitu Applied Informatics International Conference (AiIC2019) di Penang pada awal Julai 2019 yang lalu.

Mempunyai pengalaman dilantik sebagai pemeriksa luar bagi kertas-kertas kerja yang dibentangkan pada beberapa persidangan antarabangsa, serta memiliki lebih 10 hakcipta ke atas pelbagai produk perisian/aplikasi.  Penyelidikan beliau yang terkini termasuklah aplikasi-aplikasi bagi kegunaan Kampus Pintar (Smart Campus) dan pemanfaatan secara optimum ilmu yang diperolehi melalui proses perkongsian/pemindahan ilmu pengetahuan.

< Slaid pembentangan >

Tarikh Input: 30/08/2019 | Kemaskini: 30/08/2019 | nazlina

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 97691990
03 97693003
SXDdWA3~

Hello!